![]() ![]() ![]()
|
|
| << November 2009 >> | ||||||
| Sun | Mon | Tue | Wed | Thu | Fri | Sat |
| 01 | 02 | 03 | 04 | 05 | 06 | 07 |
| 08 | 09 | 10 | 11 | 12 | 13 | 14 |
| 15 | 16 | 17 | 18 | 19 | 20 | 21 |
| 22 | 23 | 24 | 25 | 26 | 27 | 28 |
| 29 | 30 | |||||








|
Tuesday, September 01, 2009 |
|
Tuesday, August 25, 2009 |
Semangat Baru
Rancangan Baru
Selamat Berpuasa
|
Wednesday, January 14, 2009 |

|
Wednesday, October 15, 2008 |
Cadangan Presiden Gerakan dalam ucapan perasmian Persidangan Tahunan Gerakan baru-baru ini agar Perlembagaan Persekutuan dipinda dan memasukkan istilah Bangsa Malaysia, bukanlah suatu cadangan yang baru.
Kebanyakan pejuang istilah "Bangsa Malaysia" akan merujuk kepada cabaran pertama Wawasan 2020 iaitu "Mewujudkan Bangsa Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat dikongsi bersama". Namun pejuang istilah "Bangsa Malaysia" yang bersandarkan cabaran pertama Wawasan 2020 mungkin terlepas pandang apabila perkataan 'bersatu' diletakkan selepas istilah "Bangsa Malaysia" berkenaan.
Bersatu itu sendiri menurut takrifan saya bermaksud banyak/berbilang/berbagai-bagai bangsa tetapi boleh "satu hati" bak laungan perwakilan Gerakan.
Mana mungkin "Bangsa Malaysia" menyebabkan Melayu melupakan kemelayuannya, Cina meninggalkan kecinaannya dan India membuang keindiaannya. Jadi pada hemat saya, pejuang istilah "Bangsa Malaysia" tidak boleh lagi berhujah bersandarkan kepada cabaran pertama Wawasan 2020.
Istilah Bangsa Melayu diulang sekurang-kurangnya 54 kali dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak ada satupun istilah Cina dan India disebut dalam undang-undang tertinggi negara itu.
Cadangan Presiden Gerakan ini tentunya akan menyebabkan 54 kali pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang juga bermaksud menukarkan istilah "Melayu" kepada "Malaysia". Semestinya cadangan ini tidak dapat diterima oleh orang Melayu selaku bangsa teras di negara ini.
Situasi ini diburukkan dengan kenyataan Ketua Wanita Gerakan yang menyatakan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang dari Sumatera.
Sebelum saya mendesak beliau dikenakan tindakan oleh partinya, suka saya menyatakan bahawa orang Melayu ini adalah bangsa perantau, bukan pendatang.
Gugusan Kepulauan Melayu ini asalnya satu bangsa dan satu budaya. Melalui perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1641, maka dari segi geografinya, gugusan ini di pecahkan kepada dua wilayah. Sempadan boleh dipecahkan namun adat dan budaya tetap kekal diamalkan sehingga kini.
Penghijrahan orang Melayu daripada Gugusan alam budaya yang sama antara Malaysia dan Indonesia tidak menjadikan orang Melayu itu pendatang.
Namun, mereka yang datang dari benua yang berbeza adat dan budayanya adalah pendatang.
Dan lebih teruk lagi apabila kedatangan pendatang bukan secara sukarela tetapi dibawa masuk oleh penjajah Inggeris untuk menjadi buruh. Orang Melayu merantau secara sukarela.
Selepas 40 tahun penubuhannya, Parti Gerakan mengulangi kononnya ingin dilihat menjadi parti berbilang kaum, yang memperjuangkan hak semua kaum. Hasrat murni ini saya percaya termaktub dalam Perlembagaan parti. Namun, melihat kepada komposisi kaum ahlinya dan komposisi kaum pemegang jawatan utama parti, saya tidak fikir orang Melayu keseluruhannya boleh menerima tawaran keahlian ini.
Bukan salah konsep kerana orang Melayu boleh menerima Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga parti berbilang kaum. Namun beza PKR dan Gerakan adalah kepimpinannya.
Jelas, mesej saya kepada Presiden Gerakan bahawa orang Melayu hanya boleh menerima parti berbilang kaum jika kepimpinannya didominasi oleh orang Melayu.
Saya percaya jika suatu hari nanti kepimpinan PKR tidak lagi didominasi oleh orang Melayu, maka satu demi satu pejuang Melayu dalam PKR akan meninggalkannya seperti mana yang pernah berlaku juga kepada Gerakan selepas era kepimpinan Syed Hussin Al-Attas.
Dari segi perjuangan, saya juga tidak pernah melihat parti Gerakan memperjuangkan hak bangsa lain. Gerakan tidak terlibat bersama MIC dan PKR menentang isu perobohan kuil. Gerakan juga tidak terlibat mempertahankan institusi raja-raja Melayu selepas kenyataan seorang pemimpin pembangkang berhubung kuasa Sultan Perak.
Jika benar Gerakan pejuang semua bangsa, mengapa tiada satupun rekod Gerakan bercakap bagi pihak bangsa Melayu dan India? Mesej saya kepada parti Gerakan, "paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih".
Saya percaya bahawa konsep Bangsa Malaysia tidak boleh disamakan dengan jiran kita, Bangsa Indonesia.
Saya yakin bahawa bangsa Cina dan India tidak akan berkompromi jika saya mencadangkan penghapusan sekolah aliran Cina dan India kerana saya juga tidak akan menyokong sebarang usaha menghapuskan hak istimewa Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, kedudukan istimewa raja-raja Melayu dan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Di Indonesia, tiada sekolah aliran Cina dan India, malah nama individu berbangsa Cina di Indonesia pun tidak memiliki identiti Cina seperti di negara ini.
Sanggupkah bangsa Cina dan India di Malaysia mengorbankan nama dan bahasa pendidikan masing-masing seperti di Indonesia? Saya tidak fikir mereka sanggup berkorban sama seperti orang Melayu tidak akan berkorban.
Buat orang Melayu pula, jangan terlalu ghairah berpolitik laksana mat jenin yang berangan-angan memeluk puteri raja sehingga lupa tentang pak kadok yang menang sorak kampungnya tergadai.
MOHD. KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ
Presiden Penaja
Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM)
Kajang
|
Thursday, September 11, 2008 |
|
Wednesday, August 20, 2008 |
MINGGU
lalu selama tiga hari berturut-turut kita mengikuti Kongres Kebangsaan
Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia anjuran Majlis Perundingan
Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (Mahkota) yang diadakan di
sebuah hotel di Johor Bahru.
Kongres ini yang dirasmikan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul
Ghani Othman, mendapat bantuan penuh dan sokongan padu Kerajaan Negeri
Johor menerusi Yayasan Warisan Johor. Ia juga turut mendapat kerjasama
Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan.
Kongres ini disertai pengamal, profesional, pentadbir,
sarjana, pelajar, tokoh bidang, penulis, wakil media setiap negeri dan
badan khusus yang berkaitan dengan kebudayaan, kesenian dan hiburan.
Topik yang dibincangkan berkaitan dengan pembangunan industri muzik,
filem, media dan seni persembahan.
Selepas majlis penutup kongres ini, kita bertemu dan berbual dengan
Pengarah Yayasan Warisan Johor, Jamak Johan. Dalam perbualan ini,
beliau menceritakan mengenai usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri
Johor untuk menjaga, memulihara dan mengembangkan seni dan budaya
warisan negeri seperti tarian dan muzik zapin, gambus dan keroncong.
Apa yang menarik usaha ini mendapat sokongan penuh semua
peringkat, bermula dari Istana Johor hinggalah kepada Kerajaan Negeri
Johor. Yang pasti di sebalik kesungguhan kerajaan untuk memaju dan
membangunkan negeri Johor, pada masa sama pembangunan seni dan budaya
tidak diabaikan. Justeru, sepanjang kongres itu diadakan, peserta
dihidangkan dengan persembahan tarian zapin, ghazal dan keroncong.
“Kita sudah memulakan usaha ini sejak 20 tahun lalu. Sekarang,
di peringkat sekolah, semua kaum boleh menari tarian zapin. Budak-budak
Cina dan India dengan budak-budak Melayu boleh menari zapin sambil
berpakaian tradisional tanpa rasa curiga,” kata Jamak.
Katanya,
ketika ini, satu kumpulan penari dan penyanyi zapin di bawah yayasan
ini diundang untuk mengadakan persembahan di Edinburgh, Scotland selama
10 hari. Satu lagi kumpulan dalam persiapan untuk membuat persembahan
di Taiwan, sempena sambutan kemerdekaan negara kita.
Ertinya, seni persembahan dan muzik tradisional Melayu ini
mendapat pengiktirafan dan penghargaan orang asing. Orang luar
mengagumi nilai seni budaya kita, termasuklah muziknya.
Kita akui Malaysia mempunyai pelbagai budaya lantaran
penduduknya yang beraneka kaum tetapi teras budaya nasional ialah
budaya dan seni tradisional orang Melayu.
Hari ini, bangsa lain bersungguh-sungguh, malahan
bermati-matian mempertahankan seni, budaya dan warisan mereka. Ini
kerana itulah antara jati diri mereka. Namun begitu, lain pula dengan
orang Melayu. Melihat kepada keadaan semasa, sudah banyak wajah dan
imej yang berlatarkan budaya serta warisan Melayu sudah dikikis sedikit
demi sedikit.
Yang
mengikisnya ialah orang Melayu sendiri atas alasan pemodenan dan
globalisasi, sedangkan orang bukan Melayu malahan bangsa asing pula
yang gigih memulihara, memelihara muzik tradisi Melayu.
Hari ini, ada stesen radio dan televisyen yang kepentingannya
dimiliki atau sekurang-kurangnya ditadbir dan diuruskan oleh orang
Melayu. Tetapi mereka juga dilihat seolah-olah hendak meminggirkan,
menghapus dan kalau boleh terus membunuh lagu dan muzik tradisional
Melayu.
Muzik tradisional dianggap sebagai tiada nilai komersial. Ia
juga dilihat sebagai kolot dan ketinggalan zaman serta dianggap sesuai
untuk bapa, emak, datuk atau nenek kita.
Televisyen dan radio adalah media yang boleh memberi rasa dan
perasaan. Kita boleh mendengar, melihat, menghayati dan memahami.
Apabila televisyen dan radio terbuka dan adil dengan muzik tradisional
ini, setiap orang boleh menikmatinya ketika berada dalam kereta,
pengangkutan awam, di rumah atau di tempat kerja.
Memanglah lagu atau muzik lagu kontemporari, moden, canggih
dan terkini sangat penting untuk menarik pendengar seterusnya pengiklan
yang menjadi punca pendapatan bagi setiap stesen radio dan televisyen.
Itu memang tidak dinafikan. Kita juga mahu melihat industri penyiaran
bergerak seiring dengan perkembangan teknologi dan mengikut trend.
Namun begitu, penyiaran lagu berbentuk tradisi Melayu itu
boleh disiarkan pada waktu yang difikirkan sesuai. Mungkin bukan pada
waktu ‘komersial’, seperti tengah hari atau malam. Ini bergantung
kepada kreativiti pengurusan dan pengawal program di setiap stesen
radio itu sendiri.
Kita masih beruntung kerana stesen radio Klasik Nasional
terus memartabatkan muzik tradisional Melayu. Begitu juga dengan radio
Best 104 berpusat di Johor Bahru. RTM menerusi stesen radio negeri juga
seharusnya tidak ketinggalan mempromosikan dan mengembangkan muzik
tradisional yang menjadi warisan Melayu seperti boria, dikir barat, cak
lempung, dabus dan dondang sayang.
Mungkin ada pihak berasa bosan, cuak, pelik atau mungkin geli
apabila kita memperkatakan soal budaya dan muzik tradisional Melayu
ini. Memanglah, ketika sesuatu itu masih wujud di depan mata,
bermacam-macam cara kita hendak menghapuskan dan menidakkan haknya atas
alasan tidak memenuhi tuntutan komersial selain tidak selari dengan
perkembangan zaman.
Sudah menjadi kebiasaan bagi orang Melayu. Apabila sudah
hilang nanti, barulah kita hendak mencarinya dan pada waktu itu ia
dianggap sebagai berharga, terlalu tinggi nilainya.
Dalam kongres itu, Ali Bakar ketika mengupas isu
Memartabatkan Muzik Negara berkata, “Satu hari nanti, muzik tradisional
kita akan mati tidak ada kubur”. Ia satu ungkapan yang patut direnungi.
Siapa yang membunuh muzik tradisional kita, muzik dan warisan seni
bangsa itu, tepuk dada tanya selera!
|
Thursday, July 24, 2008 |
AKHIRNYA, sekumpulan ahli Gerakan berjaya memasang enam papan tanda jalan dalam bahasa Mandarin di Pulau Pinang. Menerusi gambar yang dipaparkan dalam Utusan Malaysia semalam, salah satu papan tanda itu terletak di Lebuh Pantai.
Papan tanda berbahasa Mandarin itu diletak di bawah papan tanda bahasa kebangsaan tetapi lambang Tahun Melawat Malaysia ada di sebelahnya mungkin sebagai satu usaha untuk menyejukkan hati orang yang cinta akan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.
Rata-rata melihat bahawa tindakan ini mencabar kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara walaupun Gerakan mempunyai alasan tersendiri mengapa mereka bertindak demikian.
Sehubungan dengan itu, bekas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, Dr. Thor Teong Ghee memberi alasan bahawa papan tanda berbahasa Mandarin itu perlu kerana Georgetown telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia.
Apa-apa pun alasannya, oleh sebab rata-rata kita mampu berbahasa Melayu, papan tanda itu dilihat sebagai tindakan mencabar kedudukan bahasa rasmi negara.
Di samping itu, sudah kedengaran di telinga kita tentang beberapa orang pencinta bahasa yang mencadangkan agar tindakan diambil segera untuk menangani masalah tersebut.
Sesetengah pihak mahu undang-undang ditetapkan bahawa hanya bahasa kebangsaan boleh diguna pakai di papan-papan tanda seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan.
Penulis melihat masalah ini sebagai satu usaha untuk membelakangkan bahasa rasmi negara. Bahasa rasmi yang sudah sedia kacau dengan segala bentuk pencemaran hingga menjadi tajuk perbincangan di sekolah-sekolah tidak perlu diburukkan lagi dengan masalah baru.
Sewajarnya pencinta bahasa, tokoh-tokoh bahasa dan akademik, pihak berkuasa tempatan dan pelbagai pihak lagi duduk semeja berunding untuk menangani masalah ini.
Rundingan itu mesti menjurus kepada kedudukan bahasa rasmi negara di samping mencari kaedah lain untuk menarik pelancong asing ke negara kita dan bagaimana memudahkan pelancong yang berada di negara kita.
Kesimpulannya, isu berkaitan bahasa akan menjadi sensitif oleh sesetengah pihak kerana jika bahasa rasmi negara dipandang ringan, ia akan merebak kepada masalah lain, terutamanya usaha untuk mengeratkan hubungan kaum di negara kita.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm
|
Sunday, July 20, 2008 |
MINGGUAN: Penguasaan ekonomi orang Melayu terus kekal kecil berbanding kaum Cina dan kita gagal mencari punca kegagalan itu. Apa yang boleh dilakukan menerusi jihad dalam perkara ini?
MUHAMMAD ALI: Jika kita mahu mewujudkan barisan usahawan Melayu yang handal, cara pertama ialah menggalakkan penyertaan lebih ramai peniaga Melayu menerusi media negara, keadaan ini sebenarnya tidak begitu berkesan tetapi perlu diteruskan jua.
Kedua, kita mengenal pasti usahawan Melayu yang berbakat untuk dilantik menerajui organisasi perniagaan supaya dia juga boleh berkembang maju dan mula membawa orang lain agar turut serta bersamanya.
Untuk memastikan kesinambungan perniagaan Melayu ini, konsep korporat wakaf boleh dilaksanakan kerana organisasi tidak menjadi hak milik peribadi, sebaliknya wujud sebagai sebuah institusi milik banyak pihak.
JCorp sendiri tidak menswastakan syarikat demi memajukan orang Melayu dan terus berusaha mengembangkan perniagaan, syaratnya jangan beri hak milik keseluruhan kepada mana-mana individu sebab kita takut dia akan menjadi tamak dan tidak agih kepada orang lain.
Itukah yang berlaku dalam DEB sehingga dilihat mencipta beberapa individu Melayu kaya sahaja?
MUHAMMAD ALI: Ya, itu berlaku tetapi bukan kerana salah kerajaan, sebaliknya ia merupakan trend dunia ketika itu yang tanpa kita disedari membawa kesan yang sangat dahsyat kerana mewujudkan golongan kapitalis, yang berasaskan kebendaan semata-mata.
Bagi masyarakat Cina, budaya mereka adalah berpaksikan keluarga dan individu, sama seperti warga barat dan Arab sendiri dengan kajian menunjukkan bahawa 96 peratus daripada perniagaan yang dijalankan dikuasai oleh keluarga dan individu.
Kelemahan sistem itu ialah apabila pengasas perniagaan meninggal dunia. Ini kerana kajian juga menunjukkan cuma tiga peratus syarikat milik keluarga yang mampu bertahan sehingga lebih dua generasi manakala dua peratus firma seperti itu bertahan lebih tiga generasi.
Ia berlaku kerana apabila pengasas meninggal dunia, maka harta-harta akan dibahagikan sesama ahli keluarga dan masing-masing bermula semula dari sifar.
Namun, ada juga syarikat yang dibangunkan sebagai sebuah institusi mempunyai rekod perniagaan berusia ratusan tahun dan menjadi gergasi korporat pada hari ini.
Bagaimana pula dengan orang Melayu di negara ini?
MUHAMMAD ALI: Di Malaysia, sebab kita belajar dengan melihat orang Cina berniaga, maka kita terikut-ikut budaya masyarakat Cina yang memiliki perniagaan dengan berteraskan hak milik keluarga dan individu.
Untuk merubah masa hadapan perniagaan Melayu, kita kena ubah perkara ini dengan mewujudkan firma dan organisasi korporat yang bukan lagi dimiliki oleh individu tertentu, seperti yang termaktub dalam kitab suci al-Quran yang jelas menyatakan Allah sangat mengasihi orang-orang yang berjihad di jalan-Nya supaya mendirikan barisan atau saf seolah-olah sebuah bangunan yang kukuh.
Maknanya jika mahu berjihad, kita perlu ada strategi yang berkesan dan mula menyusun dan membangunkannya sebagai sebuah organisasi.
Jadi wakaf adalah caranya?
MUHAMMAD ALI: Bukan satu-satunya cara, sebaliknya sebagai salah satu kaedah alternatif kepada corak pengurusan korporat semasa. Namun begitu, masyarakat Islam sebenarnya belum sedar mengenainya walaupun ia telah lama ada dalam Islam.
Sebagai contoh, jika kita lihat bangunan Taj Mahal. Ia sebenarnya adalah bangunan wakaf dan apabila kerajaan India merdeka, kerajaan ambil alih dan begitu juga kerajaan Turki yang membina banyak masjid yang indah lagi besar menggunakan pendekatan wakaf. Selain itu, Universiti Al-Azhar di Mesir juga adalah amalan wakaf yang kemudiannya ditiru oleh orang barat yang menubuhkan yayasan yang membolehkan mereka membina Universiti Oxford.
Kita sendiri lupa dan abaikan konsep wakaf ini kerana sikap suka berebut-rebut, mahu memiliki harta secara individu.
Dari segi jangka panjang, apa kebaikan wakaf kepada orang Islam?
MUHAMMAD ALI: Hari ini orang Islam lemah di negara ini kerana berlakunya ketirisan dan kebocoran. Kita renungkan punca berlakunya dua perkara ini dan boleh dikatakan berpunca daripada pemberian hak milik kepada individu, dahulunya banyak tanah diberikan kepada perseorangan yang kemudiannya mengagihkan kepada anak-anak sehingga setiap seorang mendapat sekangkang kera sahaja.
Hari ini, hal yang sama berlaku kepada pegangan saham, jangan salahkan hukum faraid kerana Islam membawa contoh-contoh lain dengan cara menginstitusikan hak milik menerusi pendekatan wakaf, pegangan secara amanah.
Harta wakaf tidak boleh difaraidkan dan konsep tersebut tidak diketengahkan sebagai pendekatan dan amalan perniagaan dan sektor korporat tempatan, sebaliknya hanya untuk urusan melibatkan kematian sahaja.
Bagaimana untuk menyebarkan kelebihan sistem wakaf ini?
MUHAMMAD ALI: Cara terbaik ialah mewujudkan teladan yang mempengaruhi masyarakat peniaga dan korporat untuk mengikutinya. Dalam JCorp, kita sudah mulakan konsep wakaf ini dan mendapati punca orang Melayu kurang berminat mewakafkan harta mereka ialah syarat menyerahkan hak milik kepada Jabatan Agama Islam yang tiada pengalaman dan kepakaran untuk menguruskannya.
Di JCorp, kita telah mencapai persetujuan dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor untuk menyerahkan urusan pengurusan kepada kita dengan Mufti Johor Darul Takzim turut menjadi ahli lembaga pengarah, maknanya semua organisasi memiliki syarikat itu.
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htmTan Sri Dato' Muhammad Ali Hashim

Tan Sri Dato’ Muhammad Ali Hashim, aged 60, a Malaysian, is a Non Independent Non Executive Director and the Chairman of JLand. Tan Sri was appointed to the Board on 1 January 2006. Tan Sri is the Group Chief Executive of Johor Corporation (JCorp), the ultimate holding corporation of JLand, since January 1982. He graduated from the University of Malaya with a Bachelor of Economics (Honours) degree in 1969 and participated in the Senior Executive Programme, Stanford University USA, in 1985. Tan Sri was conferred the Honorary Doctor of Management by Universiti Teknologi Malaysia on 19 August 2000.
Tan Sri’s tenacity, entrepreneurial verve and visionary leadership has built JCorp into a leading Malaysian conglomerate involved in several business sectors such as Palm Oils and Oleochemicals, Quick Service Restaurants, Healthcare, Property and Hotels and Intrapreneur Venture. JCorp has successfully managed Malaysia’s first ‘privatised’ local authority, namely the Pasir Gudang Local Authority (PGLA), with Tan Sri as President since January 1982. JCorp was the single most important agency responsible for Pasir Gudang’s development into one of Malaysia’s most vibrant industrial townships. PGLA made history by becoming the first business-driven Local Authority in Malaysia to issue a Mudharabah Bond rated triple ‘A’ by Ratings Agency Malaysia (RAM). JCorp, under the leadership of Tan Sri, has won many awards, including the prestigious Inaugural Prime Minister’s Quality Awards for Public Sector in 1990.
Tan Sri was recognised as Entrepreneur of the Year by Rotary Club of Johor Bahru in 1994 and Director of the Year for 1995 by the Malaysian Institute of Directors for his commitment towards quality, entrepreneurial effort and corporate professionalism. He was also named as Property CEO of the Year 2005 by the International Real Estate Federation (FIABCI – Malaysia) and awarded the World Halal Forum Best Corporate Social Responsibility Program Award 2006 from YAB Dato’ Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi, Prime Minister of Malaysia on 8 May 2006. Recently he was awarded the prestigious Maal Hijrah 1428H Appreciation Award by Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong on 20 January 2007.
Tan Sri also sits as Chairman of QSR Brands Bhd, KFC Holdings (Malaysia) Bhd, KPJ Healthcare Berhad, Kulim (Malaysia) Berhad and Sindora Berhad, which are JCorp’s subsidiaries listed on the Main Board of the Bursa Malaysia Securities Berhad. Tan Sri also sits as Chairman of Damansara Realty Berhad, an Associate of JCorp listed on the Main Board of the Bursa Malaysia Securities Berhad. Tan Sri is also active as Council Member of Malaysian Industrial Development Authority (MIDA), President of Johor Football Association, President of Malaysian Kite Council, Vice President of Malaysian Islamic Chamber of Commerce (MICC), Chairman of Corporate Bureau of MICC and Chairman of Kumpulan Waqaf An-Nur Berhad, a charitable institution extending healthcare services to the poor and the needy. He is also Chairman and/or Director of several other companies.
Tan Sri Dato’ Muhammad Ali has written several books on business and management entitled ‘Membujur Lalu ...’ in 1996, ‘Bisnes Satu Cabang Jihad’ in 2003 and ‘Pengisian Agenda Ekonomi Di Bawah Konsep Islam Hadhari: Menjadikan Bisnes Satu Cabang Jihad’ in 2004. The book ‘Bisnes Satu Cabang Jihad’ has been translated into Bahasa Indonesia.
|
Wednesday, July 02, 2008 |
Kita merasa amat tercabar apabila ada pihak dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencadangkan semua papan tanda jalan di Pulau Pinang menggunakan juga bahasa Mandarin dan Tamil selain bahasa Melayu. Kita ingin bertanya kepada pihak yang mencadangkan adakah sesudah 50 tahun merdeka, ada rakyat Malaysia yang masih tidak memahami bahasa Melayu?
Bagi saya ini adalah mainan politik kerajaan negeri untuk medapat publisiti politik murahan bukan semata-mata untuk kemudahan pelancong. Jika pendatang dan pekerja asing yang baru datang dari Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Filipina, Nepal, Vietanam malah Afrika pun dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik; mengapa rakyat Malaysia yang sudah tinggal dan berakar umbi di sini tidak boleh?
Apakah kita perlu menukar papan tanda untuk difahami? Sepatutnya mereka belajar untuk memahami terutamanya mereka yang mengakui diri sebagai rakyat Malaysia.
Saya juga berpendapat usaha pihak tertentu memboikot akhbar berbahasa Melayu adalah untuk melemahkan minda orang Melayu supaya apa yang hendak disampaikan terutama pandangan akar umbi tidak terlaksana.
Ini adalah juga satu usaha untuk melemahkan bahasa Melayu dari segi penyebaran dan pemahamannya kerana berapa kerat sangatkah akhbar bahasa Melayu arus perdana yang ada di Malaysia?
Kita juga merasa terkilan kerana usaha memboikot ini juga direstui oleh Pas dan PKR yang majoriti ahlinya orang Melayu dan bercakap bahasa Melayu.
Kita juga tidak lupa pada tahun 1998 dahulu pun telah ada usaha memboikot dua akhbar berbahasa Melayu tertentu. Kenapa akhbar bahasa lain tidak diboikot terutamanya yang kadang kala membincangkan isu yang amat sensitif?
Kita berpandangan kerajaan Persekutuan harus bertegas dalam isu memartabatkan bahasa Melayu kerana bahasa Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kerajaan harus bertindak tegas dan menghentikan sebarang polimik seperti meremehkan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda jalan, taman-taman, mahupun papan tanda iklan di kedai-kedai dan sebagainya. Jika ini tidak ditangani segera maka isu ini akan dibangkitkan pula oleh majlis perbandaran lain terutama di negeri-negeri yang telah dikuasai oleh Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun kita agak berbangga kerana penggunaan bahasa Melayu telah dimartabatkan dan telah digunakan sepenuhnya dalam perbahasan di Parlimen. Dari siaran langsung kita dapat menilai sejauh manakah ahli-ahli Yang Berhormat yang terpilih telah menguasai bahasa tersebut. Ini adalah satu platfom yang berkesan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Ahli Yang Berhormat sama ada mahu atau tidak, perlulah mengusai bahasa Melayu untuk membahaskan sesuatu isu. Jika tidak lupakan sahaja dan perlulah membatu sehinggalah habis sidang Parlimen.
Kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan MPSP, saya mencadangkan supaya tidak usah gembar-gemburkan soal nama jalan yang telah ada. Lebih baik usahakan tukar nama penjajah bandaraya George Town dan Butterworth kepada nama Tanjung dan Bagan yang lebih sedap didengar.
MOHD. SHARIAL OMAR MUNSYI
Rawang, Selangor
MERUJUK berita dalam akhbar ini, tempoh hari tentang cadangan untuk menggunakan semua bahasa di papan tanda khususnya di Pulau Pinang, Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), sukacita mengingatkan bahawa penggunaan nama jalan, tempat dan seumpamanya di negara atau di negeri-negeri yang meliputi bandar, kampung, taman dan sebagainya merupakan penggunaan atau pemakaian yang rasmi atau dapat dianggap rasmi.
Sehubungan dengan itu penggunaan bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan negara ini sudah memadai dan mencukupi bagi maksud sedemikian.
Walaupun bahasa-bahasa lain tidak dilarang digunakan tetapi kita perlulah rasional tentang penghormatan terhadap bahasa rasmi/kebangsaan negara ini.
Kita percaya semua rakyat negara ini pastinya amat memahami bahasa rasmi/kebangsaan negara ini dan penggunaan pelbagai bahasa pada papan tanda tersebut akan lebih ‘mencaca-marbakan’ keadaan sedia ada dan mewujudkan kekeliruan atau salah fahaman bahawa terdapat rakyat negara ini yang tidak memahami bahasa kebangsaan negaranya sendiri sehingga perlu menggunakan semua bahasa yang ada di sini.
Bagi rakyat asing mencukupi bagi mereka mengenali atau memahami nama tempat, jalan dan seumpamanya seperti keadaan sekarang ini.
Citra atau imej dan jati diri negara ini perlulah dapat terpancar daripada pelbagai aspek termasuk pada papan tanda, gedung perniagaan, pusat pelancongan dan sebagainya.
Malaysia adalah Malaysia dan bukannya England, Amerika, Jepun, Korea, Taiwan, Sri Lanka atau negara-negara lain. Di negara Jepun misalnya, hanya bahasa dan tulisan Jepun kanji/hiragana sahaja yang digunakan dan hanya dalam kadar yang tertentu dan minimum bahasa Inggeris digunakan tetapi tiada yang mempersoalkan pun tentang hal ini sekalipun selain Jepun banyak warga asing menetap atau bekerja di sana seperti orang Inggeris, Amerika, Jerman, Perancis, Cina, Korea, Arab, India, Brazil dan pelbagai lagi. Begitu juga penggunaan hanya bahasa Inggeris di Kanada misalnya juga tidak “menggusarkan” mana-mana warga asing yang bukan penutur jati bahasa Inggeris.
Sekali lagi kata keramat “di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung” perlu direnung dan dihayati oleh semua warganegara Malaysia yang benar-benar mencintai negaranya.
KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
Timbalan Presiden
Persatuan Linguistik Malaysia
|
Thursday, June 26, 2008 |
ABU ASLAM dari Bandar Baru Bangi, Selangor menerusi pandangannya dalam ruangan Forum Utusan Malaysia 25 Jun dan ramai lagi orang Melayu yang sepemikiran dengannya tidak dapat menerima iklan National Monument yang disiarkan di televisyen.
Kumpulan ini menganggap penyampaian iklan tersebut yang mempromosi sebuah akhbar bahasa Inggeris sebagai "menjatuhkan martabat bahasa kita".
Sebagai seorang Melayu yang dibesarkan dalam sistem pembelajaran aliran Melayu dan bapa kepada anak-anak yang fasih menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, saya memohon supaya iklan tersebut tidak ditarik balik dan terus disiarkan sehingga tamat tempoh kontrak iklan itu ditayangkan di televisyen.
Saya melihat banyak elemen positif dalam iklan tersebut yang perlu diberi perhatian dan dipelajari oleh orang Melayu terutama generasi muda. Apabila iklan tersebut ditayangkan, beri perhatian kepada perkara berikut dari awal iklan:
Merujuk kepada rentetan pemerhatian terhadap budaya dan nilai 'Melayu' yang digarap menerusi iklan tersebut, orang Melayu terutama generasi Melayu tidak boleh menjadikan iklan tersebut sebagai bahan ketawa atau iklan yang menjatuhkan martabat bahasa kita.
Iklan itu mengusulkan teguran-teguran yang positif kepada masyarakat Melayu supaya bergerak menghapuskan budaya dan nilai negatif yang masih tebal menjadi amalan dalam darah daging masyarakat Melayu.
Orang Melayu mesti cergas, aktif dan sentiasa bersedia membina masyarakat Melayu yang lebih bertamadun. Iklan seumpama ini pun sudah kita anggap sebagai menjatuhkan martabat bahasa, bermakna kita belum bersedia untuk menerima kritikan dan saranan yang lebih besar untuk membentuk masyarakat Melayu berperadaban yang mampan dan bersedia diuji.
Persekitaran ekonomi, politik dan sosial di sekeliling orang Melayu berubah dengan cepat tanpa menunggu orang Melayu yang sentiasa beremosi menangisi nasib bangsa dan bahasa. Orang Melayu mesti maju setapak ke hadapan mengejar pergerakan kemajuan yang amat laju hari ini.
Menjadi bangsa Melayu yang lebih bertamadun dan mengisi setiap ruang negara yang maju akan mengangkat bersama kecemerlangan bahasa dan budaya Melayu. Ketika masyarakat Melayu sudah tinggi tamadunnya, bahasanya dimartabatkan dan budayanya gemilang maka tidak akan ada syarikat yang bersedia mengiklankan National Monument lagi.
GIFANI LUKAS UNGGAI
Bagan Serai, Perak
| Next Page |